Bagaimana Menskalakan ₿itcoin?

Penulisan yang lepas, kita bercakap tentang perdebatan di antara bitcoin dan bitcoin cash, di mana para penyokong tegar bitcoin cash berpendapat bahawa bitcoin belum mampu untuk diskalakan dengan meluas. Banyak orang mengkritik jalur lebar rangkaian Bitcoin yang terhad dengan merujuk kepada proses pembayaran seperti Visa dan MasterCard, di mana ia memproses sebanyak 5000 lebih transaksi persaat; dengan perbandingan, rangkaian Bitcoin memproses sebanyak 5 transaksi persaat.

Terdapat kebimbangan yang tercetus di sini - bagaimanakah bitcoin boleh menggantikan rangkaian pembayaran yang tersedia ada jika ia tidak mampu diskalakan?

Kesilapan yang orang sering lakukan adalah dengan membuat andaian, di mana, pemprosesan kad kredit bertindak sebagai asas lapisan penyelesaian pembayaran. Sudah tentu bukan ini yang sebenarnya berlaku, malah, penyelesaian transaksi selalunya mengambil masa beberapa hari untuk diselesaikan - transaksi kad kredit jarang sekali berlaku dengan segera. Bukan jarang, tetapi susah dilakukan dengan sepantas kilat.

Mengapa orang menganggap Bitcoin ini sebagai "lapisan pembayaran yang kedua" jika ia sebenarnya adalah "lapisan penyelesaian asas"?

Penyelesaian Yang Dicadangkan

Banyak penyelesaian yang dicadangkan telah dikemukakan selama beberapa tahun semasa rangkaian sedang berkembang dengan meluas. Salah satu cadangan adalah hubungan kerjasama diantara sistem kewangan dan rangkaian Bitcoin yang sudah wujud.

Pada akhir tahun 1800-an hingga awal 1900-an, di bawah piawaian emas, bank memegang rizab dalam emas dan menyerahkan "sijil" atau "bil" kertas yang mewakili **IOU kepada rizab emas mereka. Secara ringkasnya, orang ramai memerlukan cara untuk membayar dalam denominasi kecil dengan cara yang mudah dibawa dan disimpan. Oleh itu, mereka tidak perlu memotong atau menghiris jongkong emas di dalam kepingan yang kecil untuk ditukarkan dengan barangan runcit.

**IOU adalah akronim fonetik daripada perkataan Inggeris, "I owe you" - "Saya berhutang dengan anda". Ia adalah sejenis dokumen yang mengakui kewujudan hutang. IOU sering dilihat sebagai perjanjian bertulis tidak rasmi dan bukannya komitmen yang mengikat secara sah. Ia ditandangai oleh peminjam dan selalunya menunjukkan tarikh untuk pembayaran balik hutang, tetapi selalunya meninggalkan butiran lain, seperti jadual pembayaran atau sebarang faedah yang dikenakan.

Di bawah hipotesis "piawaian bitcoin" yang serupa, kita boleh memegang bitcoin di bawah jagaan dan melaksanakan transaksi berlapis semasa para penjaga memasukkannya ke dalam rantaian blok. Sebagai contoh, kita boleh menghantar bitcoin berulang-alik di aplikasi T&G, MAE atau Boost secara percuma, sebenar-benarnya kita tidak "menghantar" bitcoin. Sebaliknya, kita menerima IOU pada bila-bila masa jika seseorang itu membayar kita dan hanya apabila kita memindahkan bitcoin ke dalam dompet kita sendiri, maka transaksi tersebut disahkan pada rantaian blok.

Terdapat beberapa pilihan lain seperti pengskalaan melalui rantaian sampingan (sidechains) seperti Blockstream's Liquid (https://docs.blockstream.com/liquid/technical_overview.html), tetapi buat pada masa sekarang, ada penyelesaian yang paling popular dalam penggunaan iaitu penyelesaian lapisan ke-2: Rangkaian Kilat ⚡️

Rangkaian Kilat ⚡️

Rangkaian Kilat telah dicipta pada tahun 2015, direka sebagai protokol lapisan kedua yang akan membantu menskalakan transaksi bitcoin untuk mengurangkan yuran pembayaran pengguna dan membolehkan transaksi serta-merta.

Apabila kita membuat transaksi dengan seseorang melalui Rangkaian Kilat, kita hanya melakukan transaksi lapisan asas bitcoin apabila membuka dan menutup saluran. Semasa saluran dibuka, kita boleh menghantar beribu-ribu transaksi mikro serta-merta dengan bayaran yang sangat rendah (kurang daripada satu sen dalam dolar/4 sen dalam ringgit).

Tambahan pula, kita boleh menghantar dana kepada seseorang yang kita tidak ada hubungan langsung.

Bayangkan, semasa kita dibangku sekolah rendah, kita pernah bermain permainan telefon dengan kawan-kawan kita atau mana-mana yang seumpama dengan permainan menghantar mesej melalui bisikan kepada seorang kawan disebelah kita. Perkara ini berlanjutan.

Oleh kerana kita tidak mempunyai hubungan dengan seseorang yang berada dihujung pangkal, kita tidak boleh membisik mesej tersebut kepadanya - kita perlu sampaikan mesej itu dengan seseorang dahulu. Saluran-saluran Kilat bertindak dengan cara yang sama, ia boleh membantu sesiapa sahaja untuk menyampaikan transaksi melalui saluran-saluran perkongsian, kaedah yang tidak memerlukan kepercayaan. Jika kita mahu menghantar pembayaran Kilat kepada peniaga, secara tidak langsung, kita tidak perlu membuka saluran secara langsung dengannya. Malah, rangkaian tersebut mencari laluan yang terpantas untuk menyalurkan pembayaran secara terus-menerus, menjadikan proses transaksi tersebut lancar dan mudah.

Pembayaran Pengskalaan Masa Hadapan

Apabila bitcoin diskalakan secara realistik, orang ramai tidak perlu mengetahui dengan tepat cara pembayaran ini dihalakan - sama seperti kita tidak mengetahui bagaimana cara pembayaran kad kredit dan pindahan kawat diselesaikan. Tetapi, jika Rangkaian Kilat adalah sesuatu yang mencetuskan minat teknikal, kita boleh membacanya dengan lebih lanjut bagaimana cara ia berfungsi di sini: WHAT IS THE LIGHTNING NETWORK?

Buat sementara waktu, sistem rangkaian Kilat masih lagi baru. Ia berkembang dan membangun dengan pantas. Ia sedang digunakan secara praktikal secara meluas untuk orang ramai menghantar tip atau bayaran kepada barangan pengguna (seperti di negara El Salvador) dengan serta-merta dalam bitcoin.

El Salvador mulai menggunakan Bitcoin sebagai matawang rasmi bagi negara tersebut pada 7 September 2021.

Dengan penyelesaian seperti rangkaian Kilat, altcoin seperti Litecoin atau Bitcoin Cash yang menggembar-gemburkan untuk menyelesaikan masalah pengskalaan lalu menjadi tidak penting.

Bitcoin seakan-akan seperti hujan dan ribut taufan yang bakal melanda dan ia akan menghancurkan fiat bila-bila masa. Dunia sedang memerhatikan rangkaian Kilat dan bagaimana ia membantu menskalakan bitcoin di negara kecil - El Salvador. Kita cuma boleh berharap ini akan menarik perhatian negara-negara lain untuk mengikuti dalam penerimaan matawang yang baik dan terdesentralisasi ini.

Tip (LN ⚡️ - LightningNetwork): http://zbd.gg/joa333

Share this story