₿itcoin: Penjagaan Kendiri

Penjagaan kendiri (self-custodial) terhadap bitcoin yang kita miliki adalah aspek yang paling penting.

Penulisan yang lepas, kita baru bercakap tentang beli bitcoin melalui tempat pertukaran (exchange). Kita perlu ingat, beli bitcoin dan simpan di dalam Luno belum lagi menjadi "hak milik kita". Tempat pertukaran seperti ini dipanggil sebagai "penjagaan" (custodial). Contoh jika ada situasi mengejut yang berlaku, bitcoin yang kita beli melalui tempat pertukaran dan di simpan dalam tempat penjagaan ini, kerajaan boleh campur tangan dalam urusan kita untuk mengakses dan merampas aset tanpa soal siasat. Bukankah ini melanggar tujuan sebenar bitcoin untuk menjadikannya sebagai desentralisasi, iaitu tidak berpusat?

Mempunyai hak milik terhadap bitcoin adalah memiliki beberapa set "kunci-kunci/kekunci peribadi" di mana hanya kita sahaja yang boleh mengakseskannya. Kita ada kunci dan mangga. Kunci ini kita yang punya. Jika ada entiti tidak dikenali disebalik tabir, yang mempunyai kunci ini, mangga itu boleh dibuka oleh sesiapa sahaja tanpa memberitahu kita. Maka peribadi itu hanya janji kosong kerana ada orang lain yang tahu kunci ini.

Kunci-kunci peribadi sangat rumit. Kunci-kunci ini dihasilkan secara rawak untuk memberi kita akses kepada bitcoin dan mengesahkan atau dengan kata yang lain "tandatangan" transaksi yang kita lakukan. Kunci-kunci ini menghasilkan beberapa perkataan atau "frasa benih" (seed phrase) mnemonik 12 atau 24 kata untuk kunci peribadi.

Contoh kunci peribadi/frasa benih seperti di dalam gambar:

Simpan bitcoin di dalam tempat pertukaran dan penjagaan seperti aplikasi Luno dipanggil sebagai "dompet panas" (hot wallet). Luno memiliki kunci-kunci peribadi kita. Sekiranya penggodaman berlaku kepada "penjagaan" ini, bayangkan semua bitcoin yang disimpan di dalamnya tidak dapat lagi diakses atau hilang. 😱😱

Hanya apabila kita mempunyai kawalan ke atas kunci peribadi barulah kita mempunyai kawalan yang selamat ke atas transaksi bitcoin kita sendiri.

Ini adalah tanggungjawab kita untuk menyimpan frasa benih dengan selamat diluar talian dan disimpan di tempat yang senang kita cari atau akses. Banyak cara bagaimana kita boleh membuat sandaran (backup) data: simpanan melalui dompet perisian, storan awan, pemacu kilat atau secara manual/hitam putih - tulis di dalam buku nota khas untuk frasa benih ini.

Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh membuat sandaran seberapa banyak yang boleh agar kita tidak lupa atau leka walaupun dengan adanya kemudahan teknologi. Cara yang paling berkesan, menghafal semua frasa benih ini di dalam minda kita. Salah satu penjagaan kendiri yang paling efektif dan tidak ada sesiapa yang boleh mengugut dalam cubaan untuk mendapatkan data peribadi kita. (inisiatif untuk menghafal - jika kita mengamalkannya setiap hari, nescaya kita tidak akan lupa. Jika ianya susah bagi kita, maka tulislah di atas kertas/buku nota, baca, ingat dan ulang.)

Jenis-jenis dompet penjagaan kendiri:

1. Perisian

Untuk yang baru mula, kita boleh guna beberapa jenis perisian sistem terbuka mudah alih seperti Muun atau BlueWallet. BlueWallet juga mempunyai perisian untuk desktop.

Perisian mudah alih seperti ini boleh dibawa ke mana-mana sahaja. Ianya percuma dan senang untuk digunakan jika kita ingin membuat urusan harian. Kekurangan bagi perisian untuk mudah alih atau desktop - orang lain mungkin boleh guna dan tahu kunci peribadi oleh kerana ia sentiasa di dalam talian. Walau bagaimana pun, seperti biasa, kita perlu bijak dalam mengagihkan bitcoin kita kepada beberapa bahagian (sats/satoshi) dan sandaran.

2. Perkakasan

Cara lain kita boleh simpan bitcoin dengan menggunakan dompet perkakasan (hardware wallet). Ia paling popular dan juga mudah digunakan. Dompet perkakasan adalah luar talian, maka tidak ada unsur-unsur penggodaman yang boleh berlaku.

Ia juga dipanggil sebagai "simpanan sejuk" (cold storage) atau "dompet sejuk" (cold wallet). Perkakas ini mempunyai nombor pin dan kita tidak perlu risau jika ianya dicuri kerana kita boleh mendapatkan bitcoin kita semula dengan menggunakan perkakas yang baru atau perisian, asalkan kita mempunyai kunci peribadi yang kita simpan dan sandarkan.

Jesper baru lihat satu video klip di ruangan Twitter, seorang ahli seni bela diri campuran (MMA) yang bernama Ben Askren berada di dalam siaran podcast Bitcoin Magazine. Beliau berborak bersama ahli gusti yang terkenal, Alex McShane. Kedua-dua individu ini adalah seorang pengguna Bitcoin (bitcoiner). Ben berkata di dalam video podcast tersebut:

"Saya menggunakan Bitcoin untuk membebaskan diri saya daripada pemerintahan diktator di sekeliling saya. ....Bitcoin saya tidak boleh dirampas....Perkakas bitcoin saya hilang dalam kemalangan semasa pelayaran bot... Bagaimana kamu mahu mengambil Bitcoin daripada saya? Tidak boleh!..."

Podcast Alex McShane bersama-sama Ben Askren: You Can't Take My Bitcoin - MMA Legend Ben Askren (The Center Cannot Hold)

Keselamatan

Pastikan kita bertanggungjawab ke atas diri kita sendiri dengan menyimpan dan menyandarkan kunci peribadi dengan selamat. Bercakap tentang dompet dalam bentuk perkakasan, penting untuk kita membelinya di tempat yang sah. Jangan sesekali membeli di laman sesawang e-dagang seperti Lazada, Mudah.my, Amazon atau eBay. Kebarangkalian ada penipuan dan kita sendiri terima kerugian tersebut jika perkakas itu tidak boleh digunakan. Jesper sediakan pautan di bawah untuk perkakas-perkakas dompet:

Trezor: https://trezor.io/

COLDCARD: https://coldcard.com/

Ledger: https://www.ledger.com/

Ambillah langkah pertama untuk penjagaan kendiri selepas membeli bitcoin. Ingatlah, bukan kunci🔑 kita, bitcoin bukan milik kita.

Sekian.

Tip (LN ⚡️ - LightningNetwork): http://zbd.gg/joa333

Share this story